nasihat Abuya..
NASIHAT AYAH
Anak-anakku yang dicintai!
Ingin aku memberitahu lagi kalian sebagai nasihat dariku tanda kasih sayangku kepadamu
Anak-anakku kalau aku tidak memberitahu kamu pun tahu,
cuma kamu tidak mahu ambil tahu
Aku pun tidak tahu mengapa kamu tidak mahu ambil tahu
sesuatu yang kamu yakin dan tahu, buat-buat tidak tahu
Anak-anakku bahawa dunia ini adalah sementara waktu, bukankah kamu pun tahu,
tapi tidak ambil peduli
Dunia bukan destinasi yang dituju wahai anak-anakku
Destinasi tempat yang dituju adalah Akhirat yang kekal abadi
Dunia dikatakan negara yang dekat, Akhirat negara yang akhir yang jauh
Tuhan hantar kita ke dunia sebagai musafir untuk menguji manusia
Di suatu hari akan ke Akhirat juga negara yang abadi tidak diukur dengan masa lagi
Tuhan hantar kita ke dunia, untuk berkebun dan berladang
Makan hasilnya bukan di sini, tapi di sana negara yang abadi
Di dunia bukan tempat berehat, tapi untuk berladang sebagai ujian kepada manusia
siapa di kalangan manusia yang baik amalannya itulah perjuangan namanya
Berladang di dunia ini bersifat maknawi dan rohani, sedikit bersifat fizikal
Siapa yang berehat-rehat di dunia, di Akhirat rugi, menderita, sengsara
Orang yang rugi tempatnya di Neraka
Maksud berladang di sini ialah mengenal Tuhan, rasa bertuhan, mencintai-Nya, dan takut kepada-Nya, ikhlas untuk-Nya semata-mata
Ladang itu termasuk juga adalah menegakkan syariat Tuhan di dalam kehidupan di dunia di semua aspeknya
Sebagai ketaatan dan pengabdian kita kepada Allah Taala Tuhan pencipta kita
Bersyukur kepada-Nya , sabar dengan derita, tawadhuk sebagai hamba, pemurah, tawakkal, redha, qanaah, zuhud dengan dunia, mujahadah penentunya
Itulah dia wahai anak-anakku menanam yang dimaksudkan di dunia sana Wahai anak-anakku kalau kita tidak menanam di dunia,
Hasilnya kita dapat di Akhirat
kita akan menjadi orang yang papa-kedana, Nerakalah tempatnya
Wahai anak-anakku yang tercinta !
Kerja-kerja untuk dunia dan Akhirat selain aqidah dan ibadah khususnya dan akhlak
tidak ada bezanya di segi lahirnya
Ia merupakan benda yang sama dan perbuatan yang serupa
Yang membezakannya sama ada ia akan jadi ibadah atau dunia semata-mata
ialah niat kita dan disiplinnya
Seperti tenaga kita, harta kita, perniagaan, pertanian, masa yang digunakan, rumah yang didiami, kereta yang dipakai, cara mencari harta atau kemajuan dan lain-lain lagi
Perkara yang disebutkan tadi kalau diniatkan kerana Allah, perlaksanaannya mengikut syariat, kemudian digunakan untuk Allah maka jadilah ibadah
Kalau niat untuk untung atau maju atau megah, cara perlaksanaannya tidak ikut syariat, digunakan pula bukan untuk Allah maka jadilah adat
Pahalanya tidak ada bahkan berdosa pula, maka Nerakalah tempatnya
Anak-anakku alangkah indahnya perkara yang sama tadi niatnya betul,
syariat menjadi disiplinnya, digunakan untuk Allah, ia juga ibadah, ia juga kemajuan
Selama ini kebanyakan orang perkara yang dibuat hanya jadi kemajuan sahaja, tidak jadi ibadah sama
Jadi di sini kita faham sesuatu perkara itu hendak jadi ibadah atau sebaliknya
adalah perkara yang sama juga
Rugi sekalilah orang yang berusaha, bekerja, berjuang hanya jadi satu peranan sahaja iaitu semata-mata kemajuan tidak jadi ibadah
Mengapa kemajuan tadi tidak dijadikan ibadah sama kerana ia benda yang sama
Mengapa usaha kita itu tidak dijadikan dua keuntungan?
Anak-anakku yang disayangi!
Oleh itu jadikanlah usaha kita itu, ia juga ibadah dan ia juga kemajuan,
jangan jadi setakat kemajuan sahaja
Anak-anakku aqidah, ibadah khusus, akhlak yang mulia, kerja dan usaha kita yang jadi ibadah tadi itulah amal soleh atau sifat taqwa
Itulah yang dimaksudkan oleh Tuhan “Hendaklah kamu mencari bekal dan sebaik-baik bekal adalah sifat taqwa”
Anak-anakku yang dikasihi!
Hidup di dunia ini perlu ilmu syariat, perlu ilmu dunia di dalam semua perkara
Syariat sebagai disiplin kerja, ilmu dunia sebagai teknik dan cara bekerja
Alangkah indahnya wahai anak-anakku kemajuan dunia itu jadi ibadah,
ibadah itu jadi kemajuan dunia
Akhirat kita utamakan, dunia tidak diabaikan
Dunia kita maju, Akhirat pula kita dapat kebahagiaan dan keselamatan kekal abadi
Wahai anak-anakku yang dicintai!
Perlu diingatkan di sini orang yang lebih malang lagi ialah di dunia tidak maju,
usaha itu pula tidak jadi ibadah
Hendak buru kemajuan dan kekayaan di dunia sudah gagal, usaha itu tidak diberi pahala pula kerana ia tidak jadi ibadah kerana ternafi syarat-syaratnya
Kalau orang yang mengusahanya tidak maju, tapi usahanya itu disiplin syariat masih untung iaitu mendapat pahala di Akhirat kerana usahanya itu jadi ibadah
Wahai anak-anak buah hatiku!
Hidup di dunia ini tidak lama, sementara waktu kerana hendak mencari keredhaan Tuhan tidak mengapa sedikit mendapat kesusahan
Ia tidak berkekalan, sementara sahaja, demi untuk kesenangan dan kebahagiaan berkekalan dan berpanjangan
Kalaupun kita mendapat kesenangan di dunia tapi bukan keredhaan Tuhan,
berapa lama sangatlah kesenangan itu?
Paling lama 50 tahun selepas itu mati masuk Neraka penderitaannya selama-lamanya apalah ertinya?!
Wahai anak-anakku berhati-hatilah hidup di dunia ini yang sementara waktu ini
jangan sampai tertipu
Janganlah hidup yang sementara ini melalaikan kita, di Akhirat masuk Neraka
Nanti di sana penyesalannya tidak berkesudahan
Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna
Janganlah korbankan kepentingan Akhirat kerana kepentingan dunia yang sedikit,
yang sementara, yang tidak lama
Nisbah hidup di dunia dengan Akhirat hanya sekadar setengah jam, satu jam atau 20 minit
Apakah hendak pertahankan hidup 1 jam kemudian masuk Neraka yang begitu lama, sepanjang masa?
Fikirlah baik-baik anak-anakku
Jangan pula kerana nafsu, kita jadi bodoh hingga tidak boleh berfikir secara normal, melulu, dungu
Utamakanlah hidup yang kekal abadi dan hakiki!
Berpandangan jauhlah kita, jangan berfikiran sempit sekadar dunia sahaja
yang sementara waktu
Anak-anakku, buah hatiku, asetku, aset agama, bangsa dan negara!
Kalau kita tahu betapa berharganya diri kita, jika dijaga,
maka faedahnya merata seluruh dunia
Betapa besar pahalanya jika kita gunakan untuk Tuhan
sekaligus berguna kepada manusia
Jika kita sia-siakan hanya untuk diri kita semata-mata, amat malangnya
Itu pun belum pasti lagi, boleh jadi merosakkan dan membahayakan diri kita dan semuanya
Kerana ukuran kita adalah nafsu yang melulu, buta, masa depan tidak diambil kira
Pepatah Melayu kan ada berkata: “Ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa.”
Anak-anakku!
Mengapa kita tidak jadikan pengajaran apa yang berlaku kepada manusia yang mengikut nafsu setiap masa?
Ikut nafsu inginkan bahagia, yang terjadi celaka
Lihatlah media-massa memaparkan macam-macam kejadian yang mengerikan dan mencelakan, padahal asalnya hendakkan bahagia
Kalau tidak sempat melihat Al Quran dan Hadis cerita penderitaan Neraka orang yang ikut nafsu,
melihat kejadian setiap hari pun sudah menginsafkan kita kalau mahu mengambil pelajaran
Mengapa setiap kejadian setiap hari tidak dijadikan pengajaran?!
Apakah setelah kita mendapat kecelakaan baru menerima pengajaran?
Setelah patah kaki, sesudah lumpuh, setelah cacat, baru insaf!
Apakah setelah diri tidak ada harga, setelah manusia benci,
setelah diri tidak berguna baru mahu sedar?
Betul insaf secara itu ada juga baiknya dari tidak insaf, tapi di dunia sudah tidak ada harga dan berguna, orang sudah tidak percaya, badan sudah merana
Bukankah lebih baik diri kita berguna di dunia dan di Akhirat bahagia?!
Mungkin ada di kalangan anak-anakku berfikir mati lambat lagi, ke Akhirat jauh lagi, masa muda ini enjoy-enjoy dahululah
Setelah tua barulah kita bertaubat!
Anak-anakku jangan menipu diri, bila kita berjanji dengan Tuhan setelah tua baru mati?!
Mati bila-bila masa berlaku, bila-bila masa terjadi, di waktu bayi, kanak-kanak,
di masa muda dan dewasa, tua atau tua bangka
Alangkah malangnya jika mati di waktu muda sedang lalai dan lupa, bila hendak taubat?
Alangkah celakanya mati di dalam dosa, Nerakalah tempatnya
Wahai anak-anakku adakalanya kita tertipu oleh angan-angan kita
Apakah angan-angan kita itu?
Hingga kita tertipu, di dalam tertipu itu kita mati,
terbeliak biji mata, lain yang dikehendaki lain pula yang dijumpa
Kita mahu bebas terutama di waktu muda, itu angan-angan kita
Di dalam kebebasan itu ada bahagia begitulah kehendak kita
Di mana kita belajar yang kita ada kebebasan, mana kita ada kebebasan?
Adakalanya kita berkata, “Jangan ganggu aku, aku mahu bebas, ini adalah kebahagiaanku.”
Tapi apa yang telah berlaku di dalam pengalaman kita, dan juga orang lain,
cita-cita belum tercapai, sakit menimpa, siapa mahu sakit?
Sakit bukankah penghalang kebebasan kita, bahkan menghilangkan kebahagiaan kita?
Tidak kurang juga cita-cita kita sampai, kita hendak kaya, kaya kita dapat,
orang pula hasad dengki, ramai yang benci dan sakit hati, bahkan orang hendak membunuh kita pula
Cita-cita sampai kebebasan kita pula tidak tercapai, bahkan datang perkara yang menakutkan menggugat kebahagiaan kita
Bukankah sering juga berlaku apa yang kita citakan tidak kesampaian,
yang menggugat kebebasan dan kebahagiaan kita pula yang menimpa kita
Terjadi miskin papa, kemudian accident kereta pula, isteri atau kawan tidak ambil peduli pada kita
Berlakulah derita di dalam derita, halangan di dalam halangan, dukacita di dalam dukacita,
Sengsara di dalam sengsara,
Wahai anak-anakku apa yang aku ceritakan ini, ia adalah satu hakikat yang sering berlaku kepada manusia setiap hari
Sesuatu hakikat tidak ada sesiapa yang boleh menafi!
Kalau kita berfikir seperti yang diceritakan tadi, kita akan menempuh jalan yang sama, kerana kita adalah manusia seperti mereka juga
Ertinya mana ada kebebasan kepada manusia, mana ada kebahagiaan yang mutlak
di dunia, takkan anak-anakku tidak faham soal ini ?
Anak-anakku kalau kita faham hakikat hidup di dunia tidak ada kebebasan sebenarnya kerana ada ujian, tidak ada kebahagian yang mutlak kerana kelemahan kita
Orang yang cerdik orang yang mengambil pengajaran, lebih baik dia bersedia menerima hakikat ini daripada hendak lari dari hakikat ini
Mana ada manusia yang boleh lari darinya?
by Abuyaku….